
Membaca naskhah 17 bab ini merupakan suatu pengembaraan di dalam satu dunia fantasi bagi
Darius. Ajak Kadir Mencari Buku Kasyorga (AKMBK) mungkin tidaklah dikenali seperti karya J.K. Rowling iaitu siri Harry Potter. Bagi Darius ini adalah satu ketidakadilan. Kisah yang dipaparkan di dalam AKMBK memang menarik dan penuh dengan humor dan mesej yang sesuai untuk kanak-kanak, remaja dan pembaca dewasa yang berjiwa remaja.
Di dalam AKMBK, pembaca diperkenalkan kepada watak utama iaitu Ajak Kadir yang merupakan seorang kanak-kanak yang tinggi imaginasinya. Imaginasi Ajak Kadir yang suka digelar "Ajak Gagah" ini menjadi realiti apabila dia bertemu dengan tiga orang kanak-kanak sakti iaitu Samrin, Ella Vie dan Naina. Pengembaraan Ajak Kadir bersama-sama rakannya ini di dalam usaha mencari Buku Kasyorga membawa pembaca menemui pelbagai watak fantasi yang lazimnya ditemui di dalam karya-karya luar negara.
Apapun, bagi Darius, karya AKMBK ini adalah satu alternatif tempatan yang dihidangkan kepada para pembaca. Apa kurangnya AKMBK berbanding pengembaraan kanak-kanak lain di dalam karya luar negara?
Cuma satu perkara yang Darius ingin mengutarakan pandangan kepada penulis iaitu tentang nama Ajak Kadir itu sendiri. Penulis memperkenalkan nama penuh Ajak Kadir sebagai "Abu Razak bin Abu Kadir." Darius rasa ini satu kesilapan yang tidak wajar dilakukan kerana Razak dan Kadir (disebut Qadir) adalah nama-nama Allah. Sepatutnya jika nama Allah hendak digunakan pada manusia, hendaklah diletakkan perkataan "Abd al-" atau lazimnya "Abdul" menjadikan nama Ajak Kadir itu "Abdul Razak bin Abdul Kadir." 'Abd lebih sesuai kerana ia membawa maksud "hamba" manakala Abu tidak sesuai kerana ia membawa maksud "bapa." Tidak kena jika perkataan "Abu" ini diletakkan di hadapan nama Allah kerana mana mungkin Allah mempunyai bapa.
Ini Darius kira satu perkara yang mungkin terlepas pandang oleh penulis dan penyunting. Darius harap penulis dan penyunting dapat memperbetulkan perkara ini di dalam sambungan kisah ini nanti. Perlu juga disebut bahawa perkara ini tidaklah mengganggu cerita yang disampaikan, cuma Darius berpandangan bahawa kesilapan seperti ini tidak wajar berlaku.Apapun, AKMBK adalah suatu kisah yang menyeronokkan untuk dibaca, dan Darius akan menantikan sambungannya nanti.
Petikan menarik di dalam novel:
"Jangan takut Sofi. Ajak Gagah ada. Ajak Gagah akan bantu," kata budak lelaki bernama Ajak di celah-celah jeritan Sofi.
"Ajak!" jerit wanita itu sambil mempercepatkan langkahnya.
"Cepat, tolong buka ikatan selendang ini Sofi. Gorila raksasa betina sudah sampai," kata Ajak kepada Sofi.
Sebaik sahaja Ajak habis berkata-kata, ibu mereka; Ros, tiba di muka pintu ruang tamu.
Maklumat novel:
Harga: RM23.50
Jika anda mencari alternatif kisah fantasi remaja di dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis tempatan, inilah alternatif yang dicari.
Labels:
Ulasan Ajak Kadir Mencari Buku Sakti Kasyorga